Rabu, 30 November 2011

Bahasa Aturcara Komputer Melayu


Pengaturcaraan komputer telah dimulakan dalam dunia perhubungan dan penulisan Inggeris sejak lama dahulu. Oleh itu semua bahasa penggaturcaraan komputer yang popular hari ini direka menggunakan bahasa Inggeris seperti Lisp, C, Java, PHP dan beratus lagi bahasa-bahasa  pengaturcaraan yang lain walaupun majoriti pengaturcaranya bukan penutur asal bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris telah menyatukan dunia komputer dan menjadi bahasa komunikasi dalam dunia  komputer. Namun ini akan berubah apabila semua bangsa di dunia telah menguasai bidang komputer.

Semua pakar pengaturcaraan komputer boleh berbahasa Inggeris malah mereka telah mempelajari bahasa Inggeris sebelum mereka mula mempelajari pengaturcaraan. Bagi yang bahasa ibundanya Inggeris mereka masih juga perlu mempelajari maksud perkataan-perkataan di dalam pengaturcaraan yang sememangnya mempunyai maksud Inggeris yang berbeza namun tidak perlu mengambil masa yang panjang berbanding dengan mereka yang bahasa ibundanya bukan Inggeris. Mereka yang bahasa ibundanya bukan Inggeris selalunya akan mula mempelajari pengaturcaraan pada usia yang lebih lewat setelah menguasai serba sedikit bahasa Inggeris. Ini adalah amat merugikan.

Keperluan pengaturcaraan komputer akan bertambah dari zaman ke zaman. Penyelesaian komputer sebenarnya tiada berkesudahan. Bila suatu masalah komputer diselesaikan akan muncullah lagi masalah-masalah baru. Masalah komputer akan sentiasa bertambah. Ini adalah fakta yang sentiasa ditunjukkan semenjak bahasa pengaturcaraan komputer dicipta lebih dari 50 tahun dahulu. Malah bahasa pengaturcaraan itu sentiasa perlu dipertingkatkan seperti yang dipamerkan oleh C++11 yang merujuk kepada bahasa pengaturcaraan C++ spesifikasi tahun 2011. Bahasa pengaturcaraan itu diubah kerana masalah-masalah yang sentiasa mendatang. C/C++ adalah bahasa pengaturcaraan tulang belakang semua sistem operasi komputer popular hari ini seperti Microsoft Windows dan GNU/Linux. Hampir semua bahasa-bahasa pengaturcaraan yang lain dibangunkan menggunakan C/C++.

Di masa hadapan keperluan pakar pengaturcara komputer akan terus bertambah. Namun kos untuk mengaturcara komputer akan terus menurun. Pakar komputer di masa hadapan tidaklah lagi bergaji tinggi. Di masa hadapan kerja-kerja pengaturcaraan akan dilakukan oleh pakar-pakar suka rela. Lihat di sekeliling kita dan bertanyakan siapakah yang boleh mengaturcara komputer? Bolehkah kita mengadakan pakar-pakar aturcara yang ramai dan percuma? Kita boleh menambah jumlah pengaturcara bila bahasa aturcara boleh dipelajari dan dikuasai dari usia kanak-kanak sebaik sahaja mereka tahu membaca, menulis dan mengira.

Bahasa Aturcara Melayu

Dunia penulisan bahasa Melayu kini menggunakan huruf Rumi yang serasi dengan komputer. Untuk menjadikan komputer supaya berbahasa Melayu bukanlah sesuatu yang sukar kerana penulisan bahasa Melayu yang serasi komputer itu. Cuma yang menjadi rintangan ialah penggunaan perkataan-perkataan komputer yang sesuai. Penerimaan perkataan-perkataan komputer Melayu akan mengambil masa dan tidak semestinya terlalu lama. Bahasa Melayu itu sendiri telah meminjam banyak perkataan-perkataan dari Bahasa Inggeris dan Arab. Malah bahasa Melayu adalah merupakan suatu bahasa yang muda usia jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa dunia yang lain. Maka itu bahasa Melayu masih boleh dibentuk. Satu daripada bentuk bahasa Melayu nanti ialah bahasa aturcara komputer.

Kita tidak perlu membangunkan suatu bahasa aturcara Melayu itu dengan kaedah sukar yang telah dilalui oleh bahasa-bahasa pengaturcaraan yang awal. Ada pelbagai bahasa aturcara dari sumber terbuka yang boleh kita gunakan sebagai pemula. Sumber terbuka adalah arah tuju masa hadapan. Sumber terbuka adalah dari masyarakat kepada masyarakat. Apabila kita memikirkan suatu bahasa aturcara Melayu kita sebenarnya memikirkan tentang masyarakat di sekitarnya. Kita mahukan bahasa aturcara Melayu itu digunakan oleh seberapa ramai orang. Malah sesiapa sahaja boleh menggunakannya tanpa sebarang halangan. Kita juga boleh mengajak masyarakat membina bahasa aturcara Melayu bersama-sama. Ia tidak terhad kepada satu negara. Masyarakat dari Malaysia, Indonesia, Brunai, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam, seluruh Nusantara dan seluruh dunia Melayu boleh bersama-sama membangunkan bahasa aturcara Melayu.

Kita tidak perlu bermula dengan suatu dialek yang baru. Kita bermula dari sumber terbuka yang kecil seperti Lua dan Tiny C Compiler. Kemudian kita cuba yang lebih besar seperti Python dan Ruby. Dan kemudian gcc dan g++. Kita bermula dengan mendapatkan kod sumber dan menukarkan semua ungkapan Inggeris kepada Melayu. Kemudian kita terjemahkan seberapa banyak dokumentasi bahasa aturcara itu. Sebenarnya kerja banyak yang perlu dibuat ialah kerja terjemahan. Dokumentasi adalah pemangkin kepada penggunaan sesuatu bahasa aturcara itu.

Dengan cara menterjemahkan bahasa aturcara, pakar pengaturcara sesuatu bahasa aturcara Melayu itu nanti boleh mengembangkan kemahirannya kepada bahasa asal pengaturcaraan tersebut setelah menguasai bahasa Inggeris untuk projek-projek yang bercirikan bahasa Inggeris. Pakar pengaturcara bahasa aturcara Melayu tidak akan rugi atau ketinggalan. Malah pengaturcara bahasa aturcara Melayu akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk meneroka projek-projek berbahasa Melayu dan Inggeris.

Alatan Menterjemah Bahasa Aturcara

Ianya mungkin tidak pernah diperlukan untuk menterjemah suatu bahasa aturcara dari Inggeris kepada bahasa pertuturan lain seperti kepada bahasa Melayu. Maka itu mungkin tiada alatan khusus untuk membantu kerja-kerja terjemahan itu. Maka itu kita perlu membangunkan semua alatan yang diperlukan untuk menterjemah suatu bahasa aturcara kepada suatu bahasa aturcara Melayu.

Ia bermula dengan suatu alatan untuk mengekstrak semua ungkapan bahasa Inggeris didalam kod sumber suatu bahasa aturcara itu kepada suatu senarai yang mudah dirujuk. Kemudian dilakukan terjemahan kepada senarai ungkapan tersebut. Sesudah itu suatu alatan lain pula akan mengambil senarai terjemahan itu dan menukar semua ungkapan Inggeris kepada ungkapan Melayu didalam kod sumber bahasa aturcara tersebut. Kod sumber dengan ungkapan yang telah diterjemah akan dikompil dan menjadi suatu bahasa aturcara Melayu yang baru. Suatu nama baru kepada bahasa aturcaran itu perlu diberikan untuk mengelakkan kekeliruan dengan bahasa aturcara yang asal. Ektensi fail untuk kod bahasa baru itu juga mesti ditukar seperti dari *.c kepada *.m.

Ada dua kategori ungkapan yang perlu diteliti iaitu katakunci dan mesej. Katakunci akan menentukan corak bahasa aturcara Melayu itu nanti. Dan mesej pula akan diberikan kepada pengguna apabila kod dari sesuatu bahasa itu dikompil. Mesej mempunyai konteks yang tertentu. Oleh itu semasa menterjemahkan mesej, perlulah diperhalusi konteks mesej tersebut supaya nanti maksudnya yang sebenar dapat disampaikan kepada pengguna dengan betul. Namun demikian proses terjemahan mungkin akan melalui beberapa versi. Maklum balas dari pengguna akan memperbaiki terjemahan tersebut.

Pembangunan Masa Hadapan

Dunia pengaturcaraan Melayu hanya memerlukan beberapa kompilar bahasa pengaturcaraan yang awal. Kompilar awal itu boleh dimulakan dari kod sumber terbuka. Kemudian pembangunan untuk masa hadapan bolehlah dilakukan mengikut lunas budaya Melayu. Orang Melayu mempunyai budaya komunikasi yang sopan dan santun. Istilah dan ragam pengaturcaraan Melayu perlulah mentaati lunas budaya Melayu agar hasilnya nanti menjadi sesuatu yang didambakan. Apa salahnya sedang komputer adalah teknologi informasi dan komunikasi.


Lihat Juga

Katakunci C

Selasa, 29 November 2011

Katakunci C

C adalah suatu bahasa pengaturcaraan yang telah menjadi asas kepada banyak bahasa pengaturcaraan seperti C++, C#, Java, PHP, Javascript, dan pelbagai lagi. Malah C adalah bahasa pengaturcaraan yang penting dalam pembangunan sistem operasi seperti Linux, Windows dan Android. Oleh kerana C adalah satu bahasa pengaturcaraan yang penting jadi saya memilih C untuk dimelayukan. Berikut adalah senarai katakunci C yang dialih bahasa.

autoauto
hentibreak
kescase
aks char
tetap const
terus continue
sedia default
buat do
langit double
lain else
turut enum
luar extern
apung float
untuk for
ke goto
jika if
int int
besar long
daftar register
kembali return
kecil short
bertandasigned
saiznya sizeof
statik static
struk struct
alir switch
jenis typedef
gabung union
tiadatanda unsigned
bebas void
kacir volatile
selagi while

Penjelasan kepada beberapa katakunci yang digunakan

1. Dua katakunci dipendekkan iaitu aksara menjadi aks dan struktur menjadi struk, mengikuti gaya katakunci asal iaitu char dan struct. Katakunci int diguna sama seperti katakunci asal yang dipendekkan daripada perkataan integer.

2. Bahasa pengaturcaraan C direka mengikut konteks aliran arahan didalam mikroprosesor. Oleh itu katakunci return, break, continue, goto dan switch dialihbahasakan kepada kembali, henti, terus, ke dan alir.

3. Katakunci void dialihbahasakan kepada bebas merujuk kepada kegunaannya didalam fungsi yang tidak kembali. Katakunci void juga digunakan oleh petunjuk (pointer) yang tidak mempunyai jenis (void * => bebas *). Saya tidak memilih perkataan hampa atau kosong kerana perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud yang negatif.

4. Katakunci long dan short dialihbahasakan kepada besar dan kecil dan bukannya panjang dan pendek kerana ianya merujuk kepada nilai nombor yang besar atau kecil. Kita tidak mengatakan sesuatu nombor itu panjang atau pendek.

5. Katakunci float dan double dialihbahasakan kepada apung dan langit. Ini adalah rumit untuk dijelaskan. Float dan double merujuk kepada medan nombor diantara yang sekecilnya kepada yang sebesarnya. Nombor yang berjenis float dan double mempunyai kejituan yang terhad. Double mempunyai kejituan dua kali ganda daripada float. Penggunaan katakunci apung dan langit membayangkan sesuatu nilai yang terapung dimana kejituan nilai yang sebenarnya ditentukan oleh komputer. Katakunci langit membayangkan kejituan yang tinggi.

Konteks alihbahasa

Selalunya buat pertama kalinya sesuatu istilah itu digunakan kita mungkin akan terasa janggal. Lama kelamaan istilah itu akan menjadi biasa. Saya membuat alih bahasa ini mengikut konteks C dan bukannya melulu dari Inggeris ke bahasa Melayu. Saya telah menggunakan bahasa pengaturcaraan C sejak dari tahun 1989. Namun demikian kita masih belum mempunyai bahasa pengaturacaraan C didalam bahasa Melayu maka katakunci-katakunci yang diberikan disini masih belum lagi diuji penggunaannya.

Kompilar M

Saya bercadang untuk mengalihbahasakan kompilar (compiler) TCC ke bahasa Melayu. Saya memilih TCC kerana saiznya yang kecil. Ia tidak semudah mengalihbahasakan katakunci. Mesej-mesej sewaktu kompilasi juga perlu dialihbahasakan. Saya sedang membuat beberapa utiliti untuk membantu dalam kerja-kerja mengalihbahasa kompilar. Bahasa pengaturcaraan C yang dialihbahasakan nanti akan dikenali sebagai M.


Lihat Juga

Bahasa Aturcara Komputer Melayu