Rabu, 14 Disember 2011

Akta Badan Perkomputeran Professional Hanya Menambah Kebuntuan

Akta Badan Perkomputeran Professional Malaysia (Board of Computing Professionals Malaysia (BCPM) Act) adalah usul yang dibawa oleh MOSTI dengan tujuan untuk mengawal dan memantau pengamal IT di Malaysia sama seperti yang dilakukan oleh Board of Engineers, Board of Architects dan Board of Quantity Surveyors terhadap pengamal-pengamal didalam bidang-bidang yang berkenaan. Jurutera, arkitek dan juruukur adalah pengamal-pengamal dengan kemahiran yang boleh diramal berdasarkan kepada bidang-bidang mereka yang telah sedia matang. Bidang perkomputeran adalah amat berbeza kerana bidang tersebut sentiasa berada di alam muda. Kematangan tidak relevan di dalam dunia perkomputeran. Kerja masa hadapan di bidang perkomputeran sentiasa baharu dan memerlukan kepakaran baharu. Semua kaedah pengawalan dan pemantauan perkomputeran hari ini akan menjadi tidak relevan untuk hari esok. Maka itu harapan BCPM seperti yang dicadangkan tidak mungkin dapat dicapai. Jika BCPM diteruskan ianya hanya akan menambah kebuntuan kepada bidang perkomputeran di Malaysia.


Bidang perkomputeran di Malaysia hari ini memang tersedia dalam kebuntuan. Graduan-graduan ICT kita memang diketahui umum sebagai tidak cukup berkeupayaan. Institusi-institusi yang melahirkan graduan-graduan ICT pula tidak menunjukkan apa-apa kemampuan didalam bidangnya. BCPM itu nanti hanya akan memartabatkan graduan-graduan ICT tersebut dan menidakkan pengamal-pengamal perkomputeran yang sebenar yang majoritinya bukan graduan ICT. BCPM hanya akan menjadikan bidang perkomputeran amat buntu.


Perkomputeran bukanlah suatu bidang yang rumit di mana ramai kanak-kanak belasan tahun telah menjadi pengamalnya yang mahir. Industri perkomputeran hari ini telah diasaskan kebanyakkannya oleh kanak-kanak belasan tahun yang amat gemar dengan permainan video komputer. Saya sendiri mula mengaturcara pada usia 15 tahun. Namun demikian kemahiran yang dimiliki tidak boleh disanjung lama kerana akan sentiasa ada kemahiran baru yang perlu dikejar. Persijilan tidak dapat memberi apa-apa makna didalam bidang perkomputeran kerana kemahiran yang ada sentiasa mudah lupus.


Bidang perkomputeran penuh dengan misteri dan menguja para pengamalnya. Untuk menjadi pengamal yang baik seseorang itu mestilah mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencari dan mencuba sesuatu yang baru. Kemahiran perkomputeran perlu sentiasa diperbaharui dan diuji. Kaedah akreditasi yang diamalkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi kini hanya sesuai untuk ilmu-ilmu kuno yang masih berguna. Bidang perkomputeran memerlukan kaedah akreditasi yang lain dan yang sentiasa baharu. Akreditasi yang melebihi usia 3 tahun sudah tidak lagi relevan. Untuk itu pengamal perkomputeran perlu diuji dari masa ke semasa. Penilaian boleh diberikan berdasarkan kepada hasil kerja terkini.


Apa yang diperlukan oleh bidang perkomputeran ialah piawaian kepada proses-proses yang matang. Kemahiran berdasarkan piawaian boleh diambil kira untuk persijilan. Namun demikian persijilan itu hanyalah sebahagian daripada akreditasi. Kemahiran dalam teknik-teknik terkini juga perlu diambil kira untuk akreditasi. Persijilan di peringkat institusi pengajian tinggi hanya sesuai sebagai petunjuk tahap keupayaan pengurusan teknologi ICT sahaja.


Jika BCPM mahu diteruskan maka proses akreditasinya perlulah berdasarkan piawaian dan kemahiran teknik-teknik terkini. Akreditasi BCPM perlu mempunyai tarikh lupus. Ujian-ujian baru perlu diambil dari masa ke semasa. Penilaian terhadap projek-projek terkini yang dilakukan oleh pengamal perkomputeran perlu dilakukan dan diberi kredit. Pengamal perkomputeran perlulah mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun sebelum ianya boleh diakreditasikan. 


BCPM tidak perlu menghukum pengamal-pengamal perkomputeran yang sedia ada dengan kaedah akreditasi yang dicadangkan dan tidak relevan itu. Mungkin lebih elok jika kita ambil masa 5 tahun lagi untuk berfikir dan memantapkan idea BCPM itu.

Khamis, 8 Disember 2011

Bahasa Malaysia adalah Melayu

Bahasa kebangsaan Malaysia ialah Melayu, bukannya Bahasa Malaysia. Malah perlembagaan Malaysia juga menyebutnya begitu. Bahasa Malaysia ialah suatu ungkapan bertujuan untuk menidakkan Melayu sebagai bahasa di Malaysia. Malah agenda penidakkan ini sedang berlaku di arena antarabangsa melalui laman-laman web pelbagai bahasa yang memilih Bahasa Malaysia sebagai bahasa pilihan dan bukannya Melayu. Kita mesti memberhentikan agenda penidakkan ini.

Mengikut daftar bahasa dunia ISO-639 Melayu ialah bahasa makro yang terdiri diantaranya 36 bahasa Melayu individu. Terdapat juga dalam senarai bahasa Melayu ialah Melayu Kedah, Melayu Negeri Sembilan, Melayu Pattani, dan Melayu Sabah. Ada juga Banjar, Melayu Bukit, Jakun, Melayu Jambi, Kerinci, Minangkabau dan Orang Seletar. Bahasa Melayu yang merujuk kepada negara dan gagasan pula ialah Brunai, Melayu Kepulauan Koko (Australia), Indonesia, Melayu Maluku Utara (Indonesia) dan Melayu Pattani (Thailand). Tiada didalam senarai itu yang merujuk kepada Bahasa Malaysia.

Kod ISO-639 untuk Melayu ialah msa dan ms. Kebanyakan lawan web pelbagai bahasa menggunakan ms sebagai Bahasa Malaysia dan bukannya Melayu. Penyalahgunaan kod ms ini menimbulkan masalah kepada pendokong laman web Melayu. Bahasa Malaysia tidak mempunyai kodnya yang tersendiri maka mereka menggunakan ms untuk Bahasa Malaysia dan menyebabkan Melayu hilang haknya. Bahasa Malaysia telah merampas hak Melayu. Dimanakah letaknya hak Melayu Brunai, Kepulauan Koko, Maluku, Pattani dan ramai lagi untuk menggunakan ms sebagai Melayu?

Pilihan bahasa yang betul untuk ms ialah Melayu.